Monday, September 6, 2010




Apa Itu Istidraj









Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w.
bersabda:

"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."





Apakah istidraj itu?
Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam
risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan
generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan
umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang
dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba
maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.



Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat
dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa
yang ada; dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana
orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke
universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi
bodoh.



Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan
yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia
berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana
dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham
tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.



Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat



Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada
padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk
berbuat maksiat kepada Allah S.W.T. Manusia golongan ini telah terkeliru dengan
fahaman mereka sendiri. Mereka
tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya
yang setia dengan hambaNya yang derhaka.



Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, "Ustaz, betulkah atau tidak, aya
dengar ustaz bersyarah, ulama'-ulama' kalau bersyarah menyatakan bahawa
barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah
mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W. dan berpegang teguh kepada agama Islam.
Betulkah ustaz?"



Saya jawab, "betul."



"Minta maaf ustaz, saya tidak percaya. Sebab, apa yang saya lihat realitinya
tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang
teruk."



Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, "Mak dan ayah saya, bukan sahaja
sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malampun bangun sembahyang
tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka
puasa, Khamispun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun
susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan
ayah saya yang berpegang teguh kepada agama."



"Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya.
Rumahnya rumah batu. Puasapun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat
mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk nerakapun ramai
juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni,
hidup susah."



Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah
dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya
yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian
nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah
pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan

ISTIDRAJ.



Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah
hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta
dibelikan. Si ayahpun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia
sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang
baik. "Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang."



Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim
lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut
kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini
tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai
pemberian yang tidak redha.



Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapatnikmat yang
diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud,



"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang
selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah
diIstidrajkan oleh Allah S.W.T." (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)



Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat
bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T. kepadanya itu
walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang
menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.



Manusia Istidraj ? Manusia Yang Lupa Daratan



Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia
seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal
dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar
jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.



"Alah, siang malam ke masjid, kesurau, tapi basikal burukpun tak ada. Tengok aku.
Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang,
tapi Allah sayangkan aku. Kalau awak sikit ibadat, tentu awak juga akan kaya
macam aku." Katanya sombong.

Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan
maksiat pagi petang. Siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.



Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim,
lebih-lebih lagi yang kepada orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah
mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran,
pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat
(derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.



Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian
nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak
diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan
menemui kehancuran dan kemusnahan.



Kadang-kadang Allah S.W.T. memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan
untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Apabila
Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan
dua sayapnya." (Daripada kitab Nasa'ibul 'Ibad)



Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk
diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak
membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya
akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat
nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia
cuba hendak melawan Allah.



Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah



Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak
pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak
kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telahpun hancur dan musnah.



Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim,
Qarun yang kaya, Tha'labah yang bakhil dan banyak lagi ? semuanya telah musnah
kesombongan dan keangkuhan mereka!



Nikmat Allah yng diberikan kepada Firaun tidak terkita banyaknya. Bersinpun
tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat,
tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu
sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati mati
hingga dia merasa besar diri, sombong dan takabbur. Akhirnya dia mengaku dirinya
Tuhan.



Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar
pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh
seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya!



Tidak ada seorangpun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang
hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya
dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun
itulah yang kita cari cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita
sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta
kekayaannya dengan dirinya sekali.



Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah
yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan
jawapan.



Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W. naik ke langit pun tidak
sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa
bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W.
berjumpa dengan Allah S.W.T. di langit, tetapi baginda tidakpun sombong.
Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T.



berfirman yang bermaksud,



"Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar."



Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak
terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran
kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa
membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang
selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?



Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah



Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang
diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah
hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan
bagaimana serta ke mana digunakannya?



Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan
menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa
redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang
diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.



Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila
bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil
orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. "Ini sedekah saya.
Maaflah, hanya 50 sen." Katanya.



Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang
menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang
RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang.
Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.





Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket
"pertunjukan amal". Belumpun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang
memanggilnya terlebih dahulu. Diapun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.



Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan
label "amal" ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh
rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. "Tuah tuan, silalah datang ke taman
hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal." Ada ibu bapa yang terpengaruh
lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat
pahala.



Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah.
Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana
pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan
dalam syarahan-syarahan.



Ada pensyarah yang berkata, "Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan
zaman." Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita
sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang
mesti disesuaikan dengan Islam.



Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang
Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti
sesuai dengan perompak. Tidak boleh islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak
boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.



Tidak beberapa lamu dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama'. Ditanya tentang
loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam
loteri kebajikan? "Halal." Katanya.



Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah cakap-cakap yang
mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat
Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah
segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu
pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.



Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar
kita katakana istidraj. Orang naik pangkat istidraj, orang-orang besar istidraj.
Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk
mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.



Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi
masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke
Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin
banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang
yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.



Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di
dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih
di hati sanubari sambil berkata, RedhaMu yang selalu kami rindukan, Dan marahMu
yang sangat kami takuti, Tuhan ? Lebih baik kami hidup miskin ? ? asal dalam
redhaMu, kami tak - ingin kepada kekayaan ? ? di dalam marahMu.



Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada
terget, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam,
ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada
pegangan langsung.



Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada terget atau matlamat atau tujuan.
Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita
selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!



Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada
kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita
ambil. Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi
miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan
Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah,
katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.





Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita didunia
dan di akhirat. Wallahu A'lam.



(Dipetik dari buku Siri Syarahan Ustaz Yazid Jaafar)





No comments: