Sunday, December 26, 2010


Tawhid

Ketahuilah, Allah itu zatNya esa oleh kerana itu pasti sifat dan af’alNya jua esa kerana sifat dan af’alNya itu terbit dari zatNya. Sifat itu kelakuan bagi zat dan af’al itu perbuatan bagi zat maka disini yang ditilik adalah zat Wajibul Wujud yang bernama Allah. Allah itu adalah semata-mata asma’ bagi zat Wajibul Wujud oleh kerana itu janganlah sembah Allah kerana ianya hanya sekadar nama yang tiada ain wujud dan hanya sebagai khabar bagi memperkenalkan zat Wajibul Wujud. Matlamat penyembahan itu adalah tertuju kepada zat Wajibul Wujud dan bukan kepada asma’ bagi zat Wajibul Wujud. Namun jika setelah difahami bahawa zat Wajibul Wujud itulah tempat tujuan penyembahan dan Ia memperkenalkan diriNya sebagai bernama Allah maka tiadalah salahnya mengatakan “aku sembah Allah” bahkan wajib.

Kemudian, zat Wajibul Wujud inilah yang hendak di-tawhid-kan dan di-u’raf-i yakni diesakan dan dikenali. Makanya yang pertama-tama wajib diketahui ialah bagaimanakah esanya af’al, asma’, sifat dan zat bagi zat Wajibul Wujud dan yang keduanya wajib mengetahui hikmah hakikat kejadian alam ini khususnya kejadian manusia sebagai penyempurnaan tawhid yakni ma’rifatullah kerana Ihsan tidak akan dapat dimengertikan tanpa tawhid dan ma’rifatullah. Tawhid itu tentang ‘iktiqad’ bahawa zat Wajibul Wujud adalah ESA manakala ma’rifatullah itu tentang ‘merasai’ ESAnya zat Wajibul Wujud. Amat besar jurangnya antara tawhid dan ma’rifatullah kerana tawhid itu bangsa ilmu yang akhirnya menjadi pengesah iktiqad bagi kita untuk ditasdiq dalam sesaat manakala ma’rifatullah itu bangsa rasa yang akhirnya menjadi amalan bagi kita untuk dipakai setiap saat. Kedua-duanya ibarat nyawa dengan roh atau semisal laut dengan ombak atau seumpama matahari dengan sinarnya yang saling tidak dapat dipisahkan.

Beruntunglah pada sesiapa yang telah dibukakan baginya dengan hidayahNya akan ilmu Tawhid dan ilmu Ma’rifatullah kerana mertabat kedua-dua ilmu ini adalah ilmu yang paling teratas dan paling terutama disisi Allah ta’ala dan disisi agama Islam berbanding ilmu-ilmu lain yang ada diatas muka bumi ini. Inilah ilmu yang dihukumkan sebagai Fardhu Ain untuk mempelajarinya kerana himpunan kedua-dua ilmu ini akan membuahkan Ihsan dan sebagaimana yang telah tersedia maklum, Ihsan itu adalah salah satu daripada rukun agama yang tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan malah menyertakan Ihsan dalam setiap ibadah adalah wajib bahkan jika tiada Ihsan maka sesuatu ibadah itu sesekali tidak akan diterima Allah ta’ala.

TAWHID

Zat Wajibul Wujud itu tiada satu pun makhluk yang tahu bagaimanakah rupaNya, bentukNya dan warnaNya yang hakiki bahkan zat Wajibul wujud itu maha suci daripada digambar dengan berupa, berbentuk dan berwarna. Apa yang wajib kita ketahui ialah zat Wajibul Wujud itu wujudNya bersifat Salbiyah yakni qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah.

Zat Wajibul Wujud itu wujudNya tiada permulaan, tiada beribu, tiada berbapa dan tiada yang menjadikanNya bahkan wujudNya sedia ada tunggal tanpa ada wujud sesuatu terdahulu daripadaNya. WujudNya sesekali tidak akan menerima binasa, sesekali tidak akan menerima mati apatah lagi diakhiri dengan tiada selama-lamanya. WujudNya bersalah-salahan dengan sesuatu selainNya yakni tiada berbentuk, tiada berupa, tiada berwarna, tiada berbau, tidak didalam sesuatu, tidak diluar sesuatu, tidak berjisim, bukan jenis jirim malah langsung tidak boleh disamakan dengan makhluk. WujudNya bersendirian tanpa sesuatu menemaniNya, tanpa berhajat kepada sesuatu, tanpa berharap pada sesuatu, tanpa bergantungan kepada sesuatu malah wujudNya tidak berdiri atas sesuatu. WujudNya esa lagi tunggal maka dengan itu sifat dan af’alNya juga esa lagi tunggal tanpa ada tandingan dan tanpa ada sekutu. WujudNya meliputi segala sesuatu oleh kerana itu dimana sahaja dihadap disitulah wujud Dia kerana Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin. Demikianlah khabar tentang kewujudan zat Wajibul Wujud yang laitha kamithlihi syai’un itu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian maka terjadi berbilang-bilanglah zat Wajibul Wujud ketika itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Salbiyahnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah yang dinamakan sebagai syirik yakni menduakan zatNya dengan sesuatu.

Kemudian tentang sifat kesempurnaanNya yakni sifat Ma’ni maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka zat Wajibul Wujud itu berupaya untuk mengadakan dan meniadakan segala sesuatu secara bersendirian tanpa menjadi lemah. Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia mutlak untuk menentukan segala sesuatu secara bersendirian tanpa desakan dan tanpa kelalaian. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia mengetahui segala sesuatu sama ada yang tersembunyi apatah lagi yang nyata dan yang telah ada apatah lagi yang tersembunyi dalam pengetahuanNya tanpa kebodohan yang melazimiNya. Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia ada pada setiap masa bersendirian tanpa mengantuk, tertidur mahu pun mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran, berpenglihatan serta bertuturan maka Dia mendengar dan melihat segala sesuatu tanpa halangan dan tanpa terbatas, Dia menjelaskan segala sesuatu dengan kata-kataNya tanpa kelu dan tanpa bisu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian sifat Ma’ni itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Ma’ninya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan sebagai syirik yakni menyamakan sifatNya dengan sesuatu.

Seterusnya tentang sifat Ma’nawiyyahNya maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qodirun, muridun, ‘alimun, hayyun, sami’un, basyirun dan mutakalimun. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka Dia kekal didalam keadaan berupaya mengadakan dan meniadakan segala sesuatu tanpa lemah oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan berkuasa sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak lemah. Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia kekal didalam keadaan menentukan segala sesuatu tanpa desakan, tanpa kelalaian dan tanpa kecuaian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan menentu, merencana dan merancang segala sesuatu sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak terikat dengan aturanNya. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia kekal didalam keadaan memaklumi segala sesuatu tanpa tidak tahu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mengetahui sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak jahil. Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia selama-lamanya dalam keadaan hidup tanpa berkesudahan dengan kematian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan hidup sedang yang lain selainNya mutlak mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan mendengar tanpa menjadi pekak oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mendengar sedang yang lain selainNya mutlak pekak. Zat Wajibul Wujud itu berpenglihatan maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan melihat tanpa menjadi buta oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan melihat sedang yang lain selainNya mutlak buta. Zat Wajibul Wujud itu bertutur maka Dia kekal dalam keadaan menjelaskan dan menerangkan segala sesuatu tanpa membisu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan bertutur tanpa bisu.

Jelas, zat Wajibul Wujud itu bersifat Salbiyah, Ma’ni dan Ma’nawiyyah maka dengan itu hanya Dia sahajalah yang memperbuat segala sesuatu dengan af’alNya sendiri kerana af’al itu wajib berlangsung dengan qudrat dan iradat. Hanya zat Wajibul Wujud sahajalah yang secara tunggalnya menjadikan sesuatu dan sesuatu itu Dia jugalah yang mengerakdiamkannya. Zat Wajibul Wujud itu menjadikan tujuh petala langit dengan af’alNya, menjadikan tujuh petala bumi dengan af’alNya malah pendek kata dengan af’alNya itu jugalah dijadikan seluruh alam semesta raya ini dan menggerakdiamkannya tanpa ada sekelumit pun pada sesuatu itu usaha dan ikhtiarnya sendiri.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya ber-af’al. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya af’al maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian af’al itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan af’alnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan sebagai syirik yakni menyengutukan af’alNya dengan sesuatu.

Menduakan zat, menyamakan sifat dan mempersekutukan af’al zat Wajibul wujud dengan sesuatu adalah syirik, bahkan disisiNya syirik itu bersamaan tarafnya dengan taraf najis disisi kita. Begitu hina, keji dan jeleknya najis maka sehina, sekeji dan sejelek itu jugalah manusia-manusia yang musyrik pada pandanganNya. Manusia-manusia yang musyrik itu adalah apabila ia mengiktiqadkan bahawa dirinya wujud setandingan zat Wajibul Wujud, dirinya mempunyai sifat Ma’ni setandingan zat Wajibul Wujud dan mempunyai af’al setandingan zat Wajibul Wujud. Sebenar-benarnya makhluk itu tiada pun wujudnya, tiada pun sifat Ma’ninya dan tiada pun af’alnya. Oleh kerana itulah sekelian makhluk pada tabiatnya dan pada upayanya yang terzahir pada tindak-tanduk dan kelakuan zatnya pada hakikatnya tidak sekali-kali boleh mendatangkan bekas pada menghasilkan manfaat dan mudarat.


Saturday, December 25, 2010

Rupa Tuhan



Pada suatu hari saya dijemput ke rumah seorang ustazah untuk ‘tengok-tengokkan’ anaknya yang mengidap penyakit misteri. Saya ke rumah beliau selepas waktu isyak dan sempat beramah mesra dengan suami beliau yang juga seorang ustaz merangkap nazir di sebuah masjid ditempat saya. Rupa-rupanya kedua-duanya adalah lepasan Universiti al-Azhar.

Setelah menghabiskan secawan teh, saya terus ‘tengok-tengokkan’ anak ustaz itu dan saya dapati tiada apa yang ganjil pada anaknya melainkan keganjilan yang berlaku pada anaknya adalah akibat penyakit sawan. Itu saja.. dan saya nasihatkan agar ustaz itu merujuk anaknya kepada doktor pakar.

Kami terus bersembang dan mata saya terpesona dengan sealmari kitab disudut rumahnya yang dipenuhi dengan kitab-kitab agama dan yang paling menarik perhatian ialah susunan lengkap kitab Ihya Ulumuddin. Lalu terlintas difikiran saya bahawa ustaz ini tentunya seorang yang alim kerana antara kitab-kitab tela’ahannya adalah kitab Ihya Ulumuddin dan saya berhajat untuk mendapat manfaat dari ilmunya. Terus saya menukar topik perbualan yang berkisar tentang cerita-cerita jin dan hantu ke topik yang lebih bermakna iaitu topik agama. Dalam benak, saya memilih topik tentang Tuhan. Terus saya bertanya…

“Sudah tentu kita semua mengimani bahawa Allah adalah Tuhan kita, lalu saya ingin bertanya kepada ustaz, bagaimanakah rupaNya?”

Ketara sekali raut wajah ustaz itu menzahirkan rasa terkejutnya diatas pertanyaan saya itu namun beliau kembali tersenyum dan berwajah manis seperti biasa. Dengan perlahan beliau memindahkan air teh yang bertakung didalam teko dan menuangnya ke dalam cawan saya dan kemudian ke dalam cawannya. Beliau minum seteguk dan kemudian menjawab dengan senyuman yang tak pernah lekang..

“Seperti angin, kita tidak nampak rupanya namun angin itu wujudnya dapat dirasa maka begitulah Allah, Ia tidak mungkin dapat dilihat namun kewujudanNya dapat dirasa”.

“Jadi maksud ustaz, Allah itu tidak dapat dilihat namun wujudnya dapat dirasai semisal angin.. begitu?”

“Ya.. begitulah”.

“Kemudian apa pula beza antara mukmin dan munafik?”

Beliau terdiam sebentar dan sekali lagi meneguk air tehnya dan kali ini sampai habis. Kemudian beliau bertanya…

“Apa hubung-kaitnya antara soalan pertama dengan soalan kedua yang baru en. Rizal tanyakan pada saya?”

Dengan pantas dan tegas saya menjawab..

“Memang ada hubung-kaitnya ustaz kerana Allah mengajarkan pada kita barangsiapa yang mengaku bertuhankan Allah tetapi tidak tahu bagaimana rupaNya maka orang itu adalah munafik sebaliknya barangsiapa yang mengaku bertuhankan Allah dan ia tahu bagaimanakah rupaNya maka orang itu barulah mukmin yang tulen”.

Tiba-tiba ustaz itu ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dan sesekali beliau menyentuh hujung hidungnya dengan bucu ibu jari tangan kirinya dan kemudian menutup ketawa kecilnya dengan senyum simpul sambil pandangan matanya ditumpahkan ke lantai. Agaknya beliau lucu mendengar jawapan saya sebentar tadi. Saya pun turut tersenyum. Kemudian beliau bangun dari duduknya dan terus melangkah ke almari kitabnya dan mengambil sebuah kitab kemudian membelek-beleknya semacam mencari sesuatu. Kemudian beliau duduk dikerusi tadi dan berkata..

“Ini adalah kitab yang terkandung didalamnya pelajaran tentang aqidah atau tentang ilmu-ilmu Tawhid bersesuai dengan aqidah Ahlussunnah wal Jamaah. En. Rizal ada belajar ilmu sifat 20 tak?”

“Adalah sikit-sikit”

“Kalau begitu tentu en. Rizal tahu bagaimana mukholafatuhu lilhawadithnya Allah Ta’ala pada zatNya!”

“Tahu.. tapi saya minta ustaz sajalah yang menghuraikannya maklumlah saya mungkin banyak yang dah terlupa”.

Beliau senyum saja dan terus menghujahkan definisi mukholafatuhu lilhawadithnya zat Allah berpandukan kitab yang dipegang beliau. Setelah membelek-belek kitab itu seketika lantas beliau berkata..

“Begini, sebenarnya Tuhan itu tiada rupa yang dengannya manusia dapat melihatNya lantas dapat pula mengenali rupaNya dan ini terbukti melalui dalil Al Quran sebagaimana firman Allah “laisa kamithlihi syaiun” yang bermaksud tidak ada satu pun yang serupa denganNya [asy-Syuura:11]. Melalui dalil akal pula ulama menetapkan bahawasanya zat Allah itu bersifat mukholafatuhu lilhawadith iaitu zatNya tidak sama dengan zat makhluk dari segi rupa bentuk, sifat dan perbuatan. Jadi apabila Allah berkata yang diriNya laisa kamithlihi syaiun dan ulama membahaskannya dengan menetapkan Allah itu bersifat mukholafatuhu lilhawadith maka fahamnya adalah jika zat Allah itu tiada satu pun yang serupa denganNya bagaimana mungkin Ia dapat dikenal? Jika Ia tidak sama dengan makhluk bagaimana mungkin ia dapat dilihat? Jadi jika sudah terbukti melalui dalil naqli bahawa Allah tidak boleh dilihat maka bertanya tentang rupanya atau samada Ia boleh dilihat atau tidak adalah sesuatu yang pelik. Lagi pula en. Rizal membawakan hujah yang tidak bersandarkan kepada dalil-dalil”.

“Jadi Allah itu tiada rupa yang dengannya dapat Ia dilihat dan dikenali?”

“Ya.. perkara ini saya pasti dan yakin sekali”.

“Jadi ustaz mengingkari bahawa Allah itu ada rupa yang dengannya Ia dapat dilihat dan dikenali?”

“Tentu sekali, lagipun pendapat en. Rizal ini terang-terang menyalahi aqidah dan tiada dalil!.. en. Rizal kena tahu bahawa salah satu daripada syarat sahnya aqidah seseorang itu ialah pegangannya wajib muafakah dengan pegangan ijma’ ulama Ahlussunnah”.

Suasana senyap seketika. Nampaknya ustaz yang sedari tadi asyik tersenyum dan berwajah manis itu mulai serius malah isterinya juga asyik berkerut sahaja keningnya sedari awal mendengar perbualan kami. Memandangkan suasana tiba-tiba menjadi hangat lalu saya meminta izin dari ustaz itu untuk mengambil sebuah kitab dari almarinya dan beliau mengizinkan. Terus saya capai kitab yang bertajuk Terjemahan Hadis Shahih Muslim yang berkulit tebal berwarna hijau tua yang mengandungi tiga jilid, diterjemahkan oleh H.A. Razak dan H. Rais Lathief yang diterbitkan oleh Pustaka Al-Husna berpangkalan di Jakarta, Indonesia yakni cetakan ke tiga pada tahun 1980. Saya cari mukasurat 126 yang ada padanya hadis pada kedudukan yang ke 119 pada jilid 1 kemudian saya minta ustazah yang duduk disamping suaminya untuk membacakannya dengan jelas dan ustazah itu terus membaca hadis itu yang bermaksud..

Dari Abu Sa’id Al-Chudhry, katanya: ‘Dahulu orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw tentang kemungkinan melihat Allah pada hari kiamat. Kata baginda, “Benar, adakah kamu terhalang memandang matahari waktu tengah hari dalam keadaan cuaca jernih?” Jawab hadirin, “Tidak Tuan!” Berkata Rasulullah saw, “Pada hari kiamat kelak, tidaklah kamu akan sulit melihat Tuhan, sama saja mudahnya dengan memandang matahari dan bulan purnama.” Berkata lagi Rasulullah saw, “Nanti, pada hari kiamat akan ada pengumuman supaya tiap-tiap kaum mengikut siapa yang dipujanya diatas dunia ini, maka semua penyembah berhala dan patung akan jatuh berbondong-bondong ke dalam api neraka dan hanya yang tinggal ialah penyembah Allah dari orang-orang mukmin, orang-orang munafik dan sisa-sisa ahli kitab. Maka kaum Yahudi segera dipanggil lalu ditanya, “Apakah yang kamu sembah?” Jawab mereka itu, “Uzair anak Allah!” Dikatakan kepada mereka itu, “Bohong! Allah tidak beristeri dan tidak beranak!” Kemudian mereka itu ditanya tentang apa keinginannya. Jawab kaum Yahudi itu, “Kami haus wahai Tuhan, berilah kami minum!” akan ditunjukkan kepada mereka dan dikatakan, “Pergilah ke air itu!” Mereka lalu dibawa ke arah fatamorgana yang kelihatan seperti air tetapi sebenarnya adalah api neraka dan disanalah mereka itu jatuh berbondong-bondong.
Kemudian dipanggil pula umat Nasrani dan ditanya dengan pertanyaan yang sama dengan kaum Yahudi. Mereka menjawab, “Kami menyembah Isa anak Allah” maka mereka pun mengalami nasib yang sama dengan kaum Yahudi. Apabila yang tinggal hanya kaum penyembah Allah dari orang-orang mukmin dan munafik, datanglah Allah kepada mereka itu dengan bentuk yang belum pernah dilihat oleh mereka itu seraya berkata, “Apa lagi yang kamu tunggu?, tiap-tiap kaum telah pergi mengikut pujaannya” Jawab kaum mukmin, “Oh Tuhan! Waktu kami diatas dunia, kaum-kaum itu telah kami tinggalkan dan tidaklah kami sehaluan dengan mereka itu, walaupun mereka itu kaum kerabat kami” Berkata Allah dalam bentuk yang tidak dikenal, “Aku Tuhanmu!” Jawab kaum mukmin, “Kami berlindung kepada Allah dari tipuanmu!, kami tidak pernah menyengutukan Allah.” Perkataan itu diulang-ulang sampai dua atau tiga kali dan ada diantara mereka itu yang hampir ragu-ragu lalu berkata kepada kawan-kawannya, “Adakah benar saudara-saudara mengenal tanda-tanda Allah?” Jawab kawan-kawannya, “Ya!” Setelah itu hilanglah kebingungan mereka itu dan pada saat itu pula diketahuilah siapa diantara mereka itu yang benar-benar mukmin dan yang benar-benar munafik. Kaum mukmin diizinkan sujud tetapi kaum munafik yang menyembah Allah hanya kerana menunjuk-nunjuk dan pura-pura saja, tidaklah dapat sujud kerana tulang punggung mereka telah menjadi satu, sehingga tiap-tiap kali akan sujud, mereka akan jatuh terduduk. Setelah kaum mukmin mengangkatkan kepalanya dari sujud tadi, kelihatanlah Allah telah kembali kepada bentuknya semula yakni bentuk yang telah dikenali oleh mereka sebelum itu seraya berkata, “Akulah Tuhanmu!” Maka jawab kaum mukmin itu, “Benar! Engkaulah tuhan kami.”…

“Fahamkah ustaz apa yang disampaikan oleh Rasulullah pada hadis sahih yang dibaca ustazah sebentar tadi?”

Saya lihat mata ustaz itu terkebil-kebil saja. Renungannya kosong seolah-olah titik perhatiannya hanya tertumpu memikirkan sesuatu yang amat berat dimindanya. Beliau kemudiannya mengambil kitab Terjemahan Hadis Shahih Muslim yang berada dipangkuan isterinya lalu membacanya untuk kali kedua. Habis sahaja membaca hadis tadi terus sahaja beliau memandang muka saya dan saya seolah-olah mengerti bahawa pandangan itu seperti menunggu penjelasan dari saya.

“Cuba ustaz perhatikan baik-baik pertanyaan kepada Rasulullah tentang adakah Allah itu dapat dilihat kelak dihari kiamat lantas Rasulullah menjawabnya dengan berkata “Pada hari kiamat kelak, tidaklah kamu akan sulit melihat Tuhan, sama saja mudahnya dengan memandang matahari dan bulan purnama”. Maka kata-kata Rasulullah ini telah membatalkan hujah akal ustaz yang memisalkan Allah dengan keadaan angin sedang Rasulullah memisalkan perkara dapat melihat Allah dengan jelasnya seperti melihat matahari dan bulan purnama. Jadi kesimpulannya Allah itu dapat dilihat dengan jelas dan terang. Adakah ustaz setuju?”

Ustaz diam sahaja tetapi isterinya tiba-tiba sahaja mencelah.

“Itu tentang melihat Allah di akhirat yakni perkara khusus yang terjadi pada hari kiamat sahaja dan bukannya Allah itu dapat dilihat seterusnya dapat dikenal didunia ini dengan jelas seperti melihat kepada matahari dan bulan purnama”.

Kali ini saya pula yang tersenyum mendengar penjelasan dari ustazah kemudian membetulkan duduk saya sambil minum beberapa teguk air teh yang telah sejuk.

“Sila ustazah perhatikan baik-baik pada ayat yang berbunyi, “Setelah kaum mukmin mengangkatkan kepalanya dari sujud tadi, kelihatanlah Allah telah kembali kepada bentuknya semula yakni bentuk yang telah dikenali oleh mereka sebelum itu seraya berkata, “Akulah Tuhanmu!” Maka jawab kaum mukmin itu, “Benar! Engkaulah tuhan kami”. Bukankah telah amat jelas ayat itu menjelaskan bahawa Allah itu datang kepada mereka didalam bentuk yang mereka telah kenali sebelum terjadinya peristiwa itu dan sudah semestinyalah pengenalan terhadap rupa Allah itu berlaku sejak didunia ini lagi. Jika bukan demikian lantas bagaimana mereka akan dapat mengenal rupa Allah sedang didunia ini mereka tidak tahu rupa Allah?”

Jelas terpapar kegelisahan pada raut wajah ustazah yang jenih dan bersih itu setelah mendengar penjelasan saya namun dapat saya perhatikan beliau benar-benar berusaha agar kegelisahannya itu dapat disembunyikan. Lantas beliau berkata..

“Tidak mungkin didunia ini Allah itu dapat dilihat rupanya dan pengenalan terhadap rupa Allah yang terjadi dihari kiamat itu adalah semata-mata hasil daripada amalan yang kita lakukan didunia ini”.

“Maksud ustazah apabila seseorang itu banyak amalan baiknya didunia ini maka secara otomatik dia dapat mengenal rupa Allah diakhirat nanti.. begitu?”

“Ya”

“Maka saya minta ustazah kemukakan dalil-dalil yang diambil daripada Al Quran dan hadis yang dapat menyokong pandangan ustazah itu”.

Suasana kembali senyap. Ustaz dan ustazah masing-masing memandang diantara satu sama lain. Gelisah.

“Baiklah, sekarang saya akan kemukakan bukti daripada hadis bahawa orang yang mukmin itu telah mengenal rupa Allah dengan yakin lagi pasti semenjak mereka didunia lagi dan bukannya mereka secara otomatik akan tahu dek kerana amalan baik yang telah dilakukannya didunia dulu. Cuba ustazah buka mukasurat 120 pada kitab yang sama dan cuba baca hadis yang ke 118 itu”.

Kemudian ustazah terus mencari hadis yang saya katakan dan terus membacanya dan hadis itu bermaksud..

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bertanya orang banyak kepada Rasulullah: “Apakah kami akan melihat zat Allah dihari kiamat kelak ya Rasulullah?” Jawab beliau: “Apakah pernah kamu terhalang memandang bulan purnama raya?” Jawab mereka itu: “Tidak!” Berkata pula Rasulullah: “Adakah kamu sukar melihat matahari ketika tak ada awan menutupinya?” Jawab mereka itu: “Tidak Tuan!” Maka berkata Rasulullah: “Demikianlah jelasnya kamu akan melihat Allah kelak.” Kemudian Rasulullah meneruskan perkataannya, kata beliau: “Pada hari kiamat nanti, Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang disembahnya didunia!” Mendengar itu maka semua penyembah matahari mengikut matahari, penyembah bulan mengikut bulan dan pemuja Thoghut mengikut Thoghut dan didalam rombongan kaum mukmin (yang belum bergerak) terdapat pula kaum munafik.

Kemudian Allah Ta’ala datang kepada mereka itu dengan wajah yang tidak dikenal lalu berkata: “Aku Tuhanmu.” Maka jawab kaum mukmin: “Kami berlindung kepada Allah dari godaanmu! Kami tidak akan bergerak dari sini sebelum datang Tuhan kami yang sejati dan apabila ia datang kepada kami, dapat kami mengenalNya”. Setelah itu datanglah Allah dengan rupanya yang dikenal oleh orang-orang mukmin itu lalu berkata: “Aku Tuhanmu”. Maka jawab kaum mukmin: “Benar, engkaulah Tuhan kami”. Mereka itu pun segera mengikutinya”..

“Cuba lihat pada ayat yang berbunyi “Pada hari kiamat nanti, Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang disembahnya didunia!”. Maka seruan ini ditujukan kepada semua manusia yang ada disitu ketika itu termasuklah orang-orang mukmin. Bukankah Allah pada ayat itu secara terang-terang menyebut agar mengikut siapa atau apa yang disembahnya di DUNIA? Maka yang dikatakan sebagai mukmin yang tulen itu ialah mereka menyembah Tuhan yang mereka tahu rupaNya didunia ini. Kemudian…..”

Dengan pantas ustaz mencelah dan memotong percakapan saya lalu melontarkan sanggahannya.

“Mari kita perhatikan semula masalah ini pada sudut ilmu Tawhid..”

Sebenarnya saya terkejut dengan tindakan ustaz itu yang tiba-tiba memotong hujahan saya yang masih belum habis saya luahkan namun saya mengalah dan cuba meneliti apa yang mahu dikatakannya.

“..Secara tafsilinya mukholafatuhu lilhawadith itu merujuk kepada pengertian bahawa mustahil Allah itu zat, sifat dan af’alNya bersamaan dengan zat, sifat dan af’al makhluk. Mari kita kecilkan sudut pandang masalah ini pada ruang lingkup zat sahaja. Setuju tak en. Rizal?”

Saya mengangguk beberapa kali.

“Zat Allah itu bersifat qadim hakiki (ada sejak azali tanpa didahului sesuatu) sedang zat makhluk itu bersifat muhadas (baru dijadikan). Selain Allah yakni alam maka ianya terdiri daripada jauhar, jirim, jisim dan aradh. Maka segala jauhar, jirim, jisim dan aradh itu makhluk yang bersifat muhadas. Jadinya en. Rizal.. alam dunia ini adalah alam muhadas dan yang terkandung didalamnya walau apapun jenis dan rupanya adalah muhadas juga. Jika rupa Allah itu dapat dilihat didunia ini maka itu bermakna Allah ada didunia ini secara zahir dan berjisim maka ketika itu ternafilah bahawa Allah itu bersifat qadim hakiki sebaliknya Ia tergolong muhadas kerana setiap apa yang zahir didalam dunia ini adalah muhadas dan jika Allah itu bersifat muhadas maka ternafilah Ia bersifat nafsiyah, salbiyah dan ma’nawiyah kerana mustahil muhadas itu berlaziman dengan sifat nafsiyah, salbiyah dan ma’nawiyah. Adakah en. Rizal faham apa yang saya sampaikan ini?”

“Teruskan”.

“Nampaknya jika en. Rizal mengatakan Allah boleh dilihat rupanya didunia ini maka itu bererti en. Rizal telah menjisimkan Allah atau dengan kata lain en. Rizal telah mengiktiqadkan zat Allah adalah sama dengan zat makhluk. En. Rizal tahu apa implikasinya jika zat Allah disamakan dengan zat makhluk? Implikasinya ialah akan ternafi Allah itu wajib bersifat dengan 20 sifat yang dibahaskan didalam ilmu Tawhid maka dengan ini bermakna Allah itu bukan Tuhan!.. naudzubillaahi min zalik”.

Nampak bersemangat benar ustaz membahaskan isu ini pada sudut ilmu Tawhid dan jelas kelihatan sedikit senyuman dibucu bibirnya menandakan beliau puas dengan hujahnya almaklum dengan hujah itu jugalah puak-puak Jahmiyah atau Mujasimah pernah ditundukkan oleh ulama Asya’irah. Ustazah pula mulai tersenyum dan sesekali jelas nampak diraut wajahnya pameran rasa bangga terhadap hujah-hujah suaminya. Air teh panas dituangkan lagi ke dalam cawan saya oleh ustazah dengan senyuman yang masih menguntum kemudian beliau mempersilakan saya minum. Saya teguk air teh itu perlahan-lahan sampai habis. Tiba-tiba ustazah berseloroh..

“Hai en. Rizal.. selamba je minum.. masih kurang lagi ke panasnya?”

Hati terasa seperti ditekan lembing mendengar usikkan itu dan sekonyong-konyong berderau rasanya darah keluar dari jantung menyelinap urat sehingga derauannya mewujudkan gelombang yang menggetarkan bulu roma ditengkuk dan dilengan. Hebat sungguh kiasan ustazah. Mungkin pada beliau saya sudah ‘kalah perang’ apabila berhadapan dengan hujah suaminya yang berhujah dengan ilmu Tawhid. Seperti biasa saya senyum saja dan mulai menarik nafas panjang untuk meredakan sisa derauan yang masih ada dilengan. Pada saya tiada cara lain untuk menundukkan hujah ustaz melainkan berhujah melalui peraturan ilmu Tawhid dari aliran Asya’irah juga.

“Begini ya ustaz.. saya ingin bertanya kepada ustaz, adakah yang dimaksudkan muhadas itu termasuk juga alam akhirat dan isi-isinya selain alam dunia ini?”

“Tentu sekalilah en. Rizal sebab selain Allah semuanya muhadas.. termasuklah alam akhirat itu.. kenapa?”

“Adakah ustaz percaya dihari akhirat kelak kita semua akan dapat melihat Allah seperti mana yang tercatat didalam hadis yang ustaz baca tadi dan seperti didalam Al Quran daripada surah al-Qiyaamah ayat 22-23 yang bermaksud “wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu (hari qiamat) berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat?”

“Ya, saya percaya”

“Kalau macam tu, ustaz adalah orang yang tergolong dalam golongan yang sama iktiqadnya dengan golongan Mujasimah yang menjisimkan Allah. Bukankah ustaz sendiri yang mengatakan Allah mustahil zahir dalam alam muhadas dan bukankah alam akhirat itu juga adalah alam muhadas?”

Ustaz terkedu.

“Ternyata alam akhirat itu juga adalah muhadas maka dimanakah ustaz hendak meletakkan iktiqad ustaz bahawasanya Allah itu mustahil zahir pada alam muhadas sedangkan secara terang Rasulullah memberitahu dihari akhirat kelak Allah akan datang kepada orang mukmin dengan rupa yang dapat dikenali?”

Ustaz masih terkedu.

“Kalau mengikut bahas ulama, Allah itu mustahil zahir pada alam muhadas dan mustahil rupanya dapat dikenal tetapi mengikut kata Rasulullah, Allah itu zahir pada alam muhadas dan kerana itu rupanya dapat dikenal. Nah! Mana satukah yang ustaz nak pakai.. bahas ulama atau kata-kata Rasulullah?”

Ustaz dan ustazah sama-sama terkedu.

“Jika alam akhirat itu muhadas dan alam dunia juga muhadas maka apa penghalangnya yang boleh menghalang Allah zahir didunia dalam rupa yang dapat dikenal oleh orang mukmin sedang Dia akan menampakkan diriNya juga diakhirat nanti dalam bentuk rupa yang dikenal oleh orang mukmin semasa didunia dahulu?”

Ustaz yang tadinya duduk tegak kemudiannya tersandar dikerusi.. matanya memandang ke arah kipas yang berputar ligat disiling rumahnya. Mungkin seligat itu juga fikirannya berputar untuk menilai penjelasan yang saya berikan sebentar tadi. Ustazah diam saja sambil matanya merenung lantai. Kemudian saya menambah..

“Bukankah agama Islam mengajar kepada kita agar tunduk akal pada wahyu. Nah.. telah saya kemukakan hujahan saya dengan wahyu namun kenapa masih tunduk kepada akal dan bahasan ulama?”

Kali ini mata ustaz tepat merenung tajam ke arah saya dan jelas kelihatan titik-titik peluh membintik dihidungnya. Kemudian beliau menegakkan kembali duduknya dan meneguk air teh sehingga habis. Beliau mempelawa saya menghabiskan juadah kuih yang telah lama terletak menunggu masa dimakan sahaja.

“Boleh en. Rizal kemukakan lain-lain bukti yang mengatakan Allah boleh dilihat didunia ini?”

Lembut bunyinya pertanyaan ustaz itu.

“Ya, boleh.. Sayidina Ali r.a. pernah berkata “lam a’bud robban lam arohu” yang bermaksud “aku tidak menyembah kepada Tuhan yang tidak aku lihat”, kata-kata ini saya kutip dari kitab Sirrul Asrar karangan As-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani”.

“Itu hadis Mauquf, adakah sanadnya sahih?”

“Tentang sanadnya saya tidak tahu tetapi bagi saya sudah cukup sekiranya menilai hadis Mauquf itu sebagai sahih dengan hanya memandang kepada kredibiliti penulis kitab itu iaitu seorang ulama besar Tasawuf yang terkemuka dan lagi bermartabat sultanul awliya”.

Kemudian saya menambah..

“Ustaz.. ketahuilah! Orang mukmin tulen itu adalah siapa-siapa yang beriman dengan Allah didunia ini serta mereka mengetahui rupa Tuhan mereka didunia ini dan mereka yakini bahawa Tuhan yang mereka kenali rupaNya itu akan datang pada hari kiamat dengan rupa yang telah mereka kenali semasa didunia ini dan ustaz tak boleh sangkal perkara ini kerana telah terbukti dengan dalil. Kemudian barangsiapa yang beriman dengan Allah tetapi tidak tahu bagaimanakah rupaNya didunia ini maka orang itu adalah tergolong dalam golongan munafiq biar pun dia adalah seorang mufti atau ulama sekalipun”.

Tiba-tiba ustazah mencelah.

“Saya rasa isu yang sedang kita bincangkan ini amat berat dan tiada yang lebih memahami isu ini melainkan ulama Tasawuf. Saya rasa eloklah en. Rizal bertanyakan isu ini pada ulama Tasawuf. Kadang-kadang tidak semua pendapat kita itu benar almaklum kita bukannya ulama”.

Sekali lagi ustazah menyerang saya dengan kata-kata sinisnya. Wajahnya lembut tetapi kata-katanya runcing dan tajam. Tapi saya tak ambil hati. Nampaknya mereka tetap dengan pendirian mereka dan tak mahu berganjak darinya sehingga mengalihkan isu kepada pendapat ulama Tasawuf pula. Mungkin mereka tidak mahu mempertimbangkan hujah saya sebab saya bukan golongan ustaz yang diiktiraf pihak kerajaan seperti mereka atau mungkin sebab mereka terhijab dengan cara pakaian saya yang biasa-biasa saja yang tidak berkopiah, berjubah dan tidak mengenakan minyak wangi seperti mereka. Pada mereka mungkin urusan agama itu tidak layak dibahas oleh orang seperti saya yang mereka anggap semata-mata sebagai bomoh atau dukun yang boleh dipanggil bila-bila masa yang pasti akan berkhidmat demi menambah duit poket atau mungkin mereka menilai rendah personaliti saya berdasarkan motorsikal Kriss saya yang sudah lusuh tanpa ada brek dan angin tayar yang sentiasa kurang ditambah dengan kulit dibahagian tempat duduknya telah koyak rabak dicakar kucing yang saya tunggang tiga malam berturut-turut untuk sampai ke rumahnya biar pun saya terpaksa berbasah dalam hujan. Sebenarnya jika nak dibandingkan dengan mereka, awal-awal lagi saya sudah kalah dari semua sudut duniawi almaklumlah mereka itu lepasan al-Azhar ditambah pula mereka memiliki rumah dan kenderaan yang besar lagi cantik sementelah keluarga mereka dipandang mulia oleh masyarakat kerana ustaz berpangkat nazir. Saya pula pada mereka mungkin hanya sekadar seorang perawat upahan mereka yang bermotor lusuh.

Namun itu semua adalah mungkin sahaja dan saya lebih suka berlapang dada dan berbaik sangka saja. Saya perhatikan ustaz dan ustazah hanya diam saja dan hanya Allah sahaja yang tahu gumam hati mereka. Jam sudah menunjukkan jam 11.23 minit malam. Anak mereka yang berpenyakit sawan itu sudah pun tidur tetapi hujan masih renyai. Tiada tanda-tanda mereka hendak meneruskan perbincangan makanya saya membuat keputusan untuk balik. Balik dengan menaiki motorsikal lusuh dalam hujan renyai untuk pulang ke rumah yang serba kurang namun alhamdulilah.. alhamdulillah kerana saya telah kenal rupa Tuhan saya yang sepatutnya orang mukmin kenali didunia ini. Semoga Allah memberi petunjuk kepada ustaz dan ustazah serta menyembuhkan anak mereka. Amin.

Tentang Allah



Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya tentang Allah.

“Bonda.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda melihatNya?”

“Oh.. Allah itu di Arasy wahai anakanda dan anakanda tidak dapat melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaan zatnya lantas bagaimana mungkin anakanda akan dapat melihat Allah yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?”

“Oh begitu… Bagaimana dengan dalilnya bonda?”

“Dalilnya begini.. “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.”

Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu.. hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di negeri ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang paling diminatinya.

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak asing baginya.

“Wahai anakanda Putera Raja.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda Putera Raja melihatNya?”

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan bondanya dahulu.

“Allah itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit.”

Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara..

“Begini anakanda Putera Raja… Allah itu bukannya makhluk seperti kita lantaran itu Allah tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas Allah. Oleh itu Allah tidak bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”

“Lantas dimana Allah itu wahai Syeikh Guru?”

“Allah itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang bermaksud Allah tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika kita mengatakan Allah berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan Allah dengan keadaan makhluk. Ketahuilah, Allah tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.” Allah tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung zat Allah sedang bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian Allah.”

Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh Abdullah menambah..

“Berkenaan tentang anakanda Putera Raja tidak boleh melihat Allah itu adalah betul namun bukanlah kerana Allah itu jauh maka anakanda Putera Raja tidak boleh melihatNya.”

“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.

“Sebenarnya kita tidak dapat melihat Allah bukanlah kerana faktor jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang tidak mampu melihat zatNya. Ini bersesuai dengan firman Allah yang bermaksud “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”.. dari surah al-An’am ayat 103.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau sedar bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan yang mengatakan bahawa Allah itu di Arasy dan Allah tidak boleh dilihat kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari itu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu Kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.

Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.

Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya kepada bondanya iaitu dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?. Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu. Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah. Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya.

“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”

Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.

“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.

“Beta adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.

“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang Allah tetapi tuan sendiri belum mengenal Allah. Jika tuan telah mengenal Allah sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan tuan tadi.”

Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’ yang diucapkan orang tua itu. Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.

“Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”

Dengan tenang si Tua itu menjawab..

“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang ramai.

“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?”

“Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur. Melihat orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..

“Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?”

“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang Allah tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal Allah.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang tua itu.

“Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta berpegang bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah.”

“Allah itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil mengesat bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..

“Bukankah Allah itu wujudNya esa?”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Jika Allah itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu bersertaNya.”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika Allah itu diyakini wujud tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud Allah. Lantas beliau membuat satu kesimpulan..

“Jika dipandang dari sudut esanya wujud Allah maka alam ini tidak lain melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri. Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam. Terbungkam.

“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang pada hakikatnya?” Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar.

“Pada hakikatnya beta memandang Allah!”

“Nah kalau begitu bukankah Allah ada berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja kamu menghadap, disitulah wajah Allah” dari surah al Baqarah ayat 115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.”

Kemudian orang tua itu bertanya lagi..

“Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat Allah ketika ini”

“Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh.”

Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian Allah. Dalam hati perlahan-lahan beliau berkata.. “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini, Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat Allah.”

“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi mempraktikkan ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan seseorang itu dapat mengenal Allah dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.

Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu. Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh. Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya. Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.

“Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja Allah bertindak menurut kemahuanNya.”

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok untuk mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau pengsan.

Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Syah.

“Mengapa kamu melempari muka beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan Sultan Muzaffar Syah.

“Kerana tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah Allah yakni Tuhan saya.”

“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah hairan.

“Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa tuanku ini adalah seorang yang mengenal Allah adalah bohong semata-mata.”

“Kenapa kamu berkata begitu?”

“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal Allah pasti merindui untuk ‘menemui’ Allah.”

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi apabila mendengar ungkapan ‘menemui Allah’ yang diucapkan oleh pemuda gembala itu. Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.

“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?”

Tanya Sutan Muzaffar Syah.

“Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?”

Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..

“Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”

“Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?”

“Semestinyalah beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah kekasih Allah!”

“Nah begitulah… Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut perkataan ‘Allahu Akbar’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan. Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah dirinya.. “Memang.. memang selama ini beta mengenali Allah melalui ilmu hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya. Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”.. bisik hatinya. Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.

“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah?”

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..

“Allah berada dimana Dia berada sekarang.”

“Kalau begitu, dimana Allah sekarang?

“Sekarang Allah berada dimana Dia berada dahulu.”

“Dimana Allah berada dahulu dan sekarang?”

“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”

“Dimana tempat itu?”

“Didalam pengetahuan ilmu Allah.”

Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut memikirkan jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan pertanyaannya lagi.

“Bolehkah manusia melihat Allah?”

“Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”

“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Syah.

“Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bonda tuanku itu diatas soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul menurut tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika dinilai dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu Hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika dinilai dari sudut ilmu Ma’rifat. Tiada yang salah cuma ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu Kalam) kemudian ke tahapan khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu Ma’rifat).”

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..

“Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat Allah maka ilmu Ma’rifat pula jalan baqo’ kerana menilik terus kepada Kunhi zat Allah. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana Allah melainkan Allah dan tiada sesiapa yang dapat melihat Allah melainkan diriNya sendiri.”

Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal Allah dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”

“Jangan mengenal Allah dengan akal sebaliknya mengenal Allah dengan Allah.”

“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan Allah?”

“Sebagaimana firman Allah yang bermaksud “.. Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”.. dari surah al Kahfi ayat 110.”

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Syah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut ilmu Ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang arifbillah lagi zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah. Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Syah sedar dan faham bahawa untuk memahami tentang Allah maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada ilmu Kalam, ilmu Hakikat atau ilmu Ma’rifat maka kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan Insan Kamil yang Ma’rifatullah.

Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada Allah dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu Allah. Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. Perlahan-lahan pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua kalimah syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata..

“Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah menemui Allah dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai Allah, masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui Sultan Muzaffar Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya Allah…”. Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana kembali hening………

Share

Wednesday, September 8, 2010

NABI MUHAMMAD S.A.W


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (bahasa Arab: نبي محمد صلى الله عليه وسلم‎) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musadan Nabi Isa.

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:

Surah Al-Anbiya, ayat 107




"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."


Kelahiran

Nabi Muhammad telah diputerakan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.

Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seoranganak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.


Masa Remaja

Dalam masa remajanya, Nabi Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.


Berumahtangga

Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.

Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki dan 4 perempuan) tetapi kedua-dua anak lelaki mereka, Qasim dan Abdullah meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah Khadijah meninggal pada usia 51 tahun. Seorang lagi anak baginda adalah hasil perkahwinan baginda dengan Mariah Al-Qibtiyyah. Putera baginda bersama Mariah bernama Ibrahim itu juga meninggal semasa kecil.


Bapa dan ibu saudara Nabi Muhammad

  • Al-Harith bin Abdul Muthalib
  • Muqawwam bin Abdul Muthalib
  • Zubair bin Abdul Muthalib
  • Hamzah bin Abdul Muthalib
  • Al-Abbas bin Abdul Muthalib
  • Abu Thalib bin Abdul Muthalib
  • Abu Lahab bin Abdul Muthalib
  • Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
  • Hijl bin Abdul Muthalib
  • Dzirar bin Abdul Muthalib
  • Ghaidaq bin Abdul Muthalib
  • Safiyah binti Abdul Muthalib
  • 'Atikah binti Abdul Muthalib
  • Arwa binti Abdul Muthalib
  • Umaimah binti Abdul Muthalib
  • Barrah binti Abdul Muthalib
  • Ummi Hakim al-Bidha binti Abdul Muthalib

Kerasulan

Fail:522px-Cave Hira.jpg


Gua Hira tempat pertama kali Nabi Muhammad memperoleh wahyu.

Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira, sebuah gua bukit dekat Makkah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.

Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata:

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.


Marhalah dakwah Rasulullah

Perjuangan dakwah Rasulullah yang boleh diringkaskan sebagai berikut:

  • Pertama: Marhalah Tasqif - tahap pembinaan dan pengkaderan untuk melahirkan individu-individu yang menyakini pemikiran (fikrah) dan metod (thariqah) parti politik guna membentuk kerangka gerakan.
  • Kedua: Marhalah Tafa’ul ma’al Ummah - tahap berinteraksi dengan umat agar umat turut sama memikul kewajiban dakwah Islam, sehingga umat akan menjadikan Islam sebagai masalah utama dalam hidupnya serta berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.
  • Ketiga: Marhalah Istilamil Hukmi - tahap pengambilalihan kekuasaan, dan penerapan Islam secara utuh serta menyeluruh, lalu mengembangkannya sebagai risalah Islam ke seluruh penjuru dunia.


Thalabun Nusrah

Thalabun Nusrah adalah detik bersejarah yang dapat dinukil didalam kitab sirah dan merupakan satu aktiviti penting dalam marhalah kedua perjuangan Rasulullah Lestari atau tidaknya dakwah ditentukan olehnya kerana keberlangsungan dakwah memerlukan dua aspek penting:-

  • Pertama, untuk mendapatkan perlindungan (himayah) sehingga tetap dapat melakukan aktiviti dakwah dalam keadaan aman dan terlindung.
  • Kedua, untuk mencapai tampuk pemerintahan dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah (Negara Islam) dan menerapkan hukum-hukum berdasarkan apa yang telah diturunkan Allah SWT dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.


Cabaran-cabaran

Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.

Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Afan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.

Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Makkah.


Hijrah

Di Makkah terdapat Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat kepada Allah. Sebelumnya ia dijadikan oleh masyarakat jahiliyah sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam kunjungan ini. Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernamaAqabah secara sembunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.

Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang lagi ke Makkah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu. Mereka mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah beramai-ramai ke bandar baru itu.

Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Makkah, masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka. Namun kumpulan pertama telahpun berjaya berhijrah keYathrib. Masyarakat jahiliyah Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain.

Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Makkah kecuali Rasulullah, Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar Rasulullah'.


Madinah

Di Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah dicabuli.


Pembukaan Kota Makkah

Rencana utama: Pembukaan Kota Mekah

Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi Muhammad berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai 10,000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad kemudian mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling Kaabah dimusnahkan.


Meneladani perbuatan Rasulullah

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan Rasulullah dibagi menjadi dua macam. Ada yang termasuk perbuatan-perbuatan jibiliyah, iaitu perbuatan yang dilakukan manusia secara fitri, dan ada pula perbuatan-perbuatan selain jibiliyah. Perbuatan-perbuatan jibiliyah, seperti berdiri, duduk, makan, minum dan lain sebagainya, tidak ada perselisihan bahawa status perbuatan tersebut adalah mubah (harus), baik bagi Rasulullah maupun bagi umatnya. Oleh kerana itu, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam kategori mandub (sunat).

Sedangkan perbuatan-perbuatan yang bukan jibiliyah, boleh jadi termasuk dalam hal-hal yang ditetapkan khusus bagi Rasulullah, dimana tidak seorang pun diperkenankan mengikutinya (haram); atau boleh jadi tidak termasuk dalam perbuatan yang diperuntukkan khusus bagi beliau. Apabila perbuatan itu telah ditetapkan khusus bagi Rasulullah, seperti dibolehkannya beliau melanjutkan puasa pada malam hari tanpa berbuka, atau dibolehkannya menikah dengan lebih dari empat wanita, dan lain sebagainya dari kekhususan beliau; maka dalam hal ini kita tidak diperkenankan mengikutinya. Sebab, perbuatan-perbuatan tersebut telah terbukti diperuntukkan khusus bagi beliau berdasarkan Ijmak Sahabat. Oleh kerana itu tidak dibolehkan meneladani beliau dalam perbuatan-perbuatan semacam ini.

Akan halnya dengan perbuatan beliau yang kita kenal sebagai penjelas bagi kita, tidak ada perselisihan bahawa hal itu merupakan dalil. Dalam hal ini penjelasan tersebut boleh berupa perkataan, seperti sabda beliau:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَليِّ
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat”

خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ
"Laksanakan manasik hajimu berdasarkan manasikku (apa yang telah aku kerjakan)"

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan beliau merupakan penjelas, agar kita mengikutinya. Penjelasan beliau bisa juga berupa qaraain al ahwal, yakni qarinah/indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, seperti memotong pergelangan pencuri sebagai penjelas firman Allah SWT:

فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا
"Maka potonglah tangan keduanya." (Surah Al-Maidah : 38)

Status penjelas yang terdapat dalam perbuatan Rasulullah, baik berupa ucapan maupun indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, dapat mengikuti hukum apa yang telah dijelaskan, apakah itu wajib, haram, mandub(sunat) atau mubah(harus) sesuai dengan arah penunjukan dalil.

Sedangkan perbuatan-perbuatan beliau yang tidak terdapat di dalamnya indikasi yang menunjukkan bahawa hal itu merupakan penjelas, bukan penolakan dan bukan pula ketetapan. Maka dalam hal ini perlu diperhatikan apakah di dalamnya terdapat maksud untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) atau tidak. Apabila di dalamnya terdapat keinginan untuk bertaqarrub kepada Allah maka perbuatan itu termasuk mandub(sunat), di mana seseorang akan mendapatkan pahala atas perbuatannya itu dan tidak mendapatkan balasan jika meninggalkannya. Misalnya Solat Duha. Sedangkan jika tidak terdapat di dalamnya keinginan untuk bertaqarrub, maka perbuatan tersebut termasuk mubah(harus).


Pesanan terakhir Rasulullah (Isi khutbah terakhir Rasulullah)

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:


"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."


Kronologi perkembangan Islam

  • 570M- Nabi Muhammad dilahirkan.
  • 610M- Nabi Muhammad menerima wahyu pertama di Gua Hira'.
  • 615M- Orang Muslim didera oleh puak Quraish. Hijrah pertama ke Habsyah.
  • 616M- Saidina Hamzah dan Saidina Umar memeluk Islam. Hijrah kedua ke Habsyah.
  • 619M- Khadijah (isteri nabi) dan Abu Talib (bapa saudara nabi) meninggal dunia. Melawat Taif. Peristiwa Isra dan Mi'raj berlaku.
  • 621M- Baiat Aqabah 1
  • 622M- Baiat Aqabah 2. Hijrah ke Madinah. Daulah Islamiyah dibina.
  • 624M- Perang Badar.
  • 625M- Perang Uhud.
  • 627M- Perang Ahzab.
  • 628M- Perjanjian Hudaibiyah.
  • 629M- Perang Khaibar dan dalam menentang tentera Rom Byzantine, baginda menghantar tentera Islam dalam Perang Mu'tah.
  • 630M- Pembukaan Makkah. Perang Hunain.
  • 631M- Perang Tabuk.
  • 632M- Kewafatan Nabi Muhammad Perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.