FENOMENA obesiti bukan perkara biasa di kalangan populasi masyarakat Arab Moor di Mauritania hinggakan kanak-kanak sekecil usia empat tahun dipaksa makan tanpa henti bagi membolehkan mereka membesar dalam keadaan gempal.
Sejak beberapa generasi lalu, majoriti wanita di negara itu dipaksa makan sejak kecil hinggakan lebih ramai kanak-kanak perempuan yang diberi makanan berbanding lelaki.
Bagi masyarakat Mauritania, wanita yang kurus dianggap miskin dan tidak subur lalu tidak dihormati serta tidak layak berkahwin. Wanita gempal pula dilabel cantik, menarik, kaya dan simbol wanita sempurna.
Namun, kerajaan berusaha mengurangkan tabiat buruk itu dengan pelbagai kempen kesedaran kesihatan secara berkala. Terkini, dianggarkan cuma seorang daripada 10 kanak-kanak perempuan di kawasan bandar dipaksa makan secara berlebihan.
Begitupun, masih ramai yang mengamalkannya terutama di kawasan kampung. Masih ramai wanita yang obes dan tiada kekangan terhadap ibu yang memaksa anak perempuan mereka mengambil makanan berlemak semata-mata untuk dikahwini.
"Saya paksa mereka makan banyak buah kurma, kuskus (pasta daripada adunan suji dan air yang dikukus) serta bermacam makanan manis dan berlemak.
"Saya paksa kanak-kanak ini makan, makan dan makan, juga minum banyak air. Mereka perlu makan tanpa henti sepanjang pagi. Selepas itu dibenarkan berehat atau tidur.
"Sesi makan-makan diteruskan semula pada tengah hari. Mereka kemudian berehat dan disambung sebelah petang. "Sesi itu berlangsung tiga kali sehari - pagi, tengah hari dan petang," kata Fatematou, wanita gempal dalam usia 60-an yang membantu kaum ibu 'membesarkan' anak perempuan mereka di sebuah rumah yang dikenali 'ladang gemuk' terletak di utara bandar Atar.
Tambahnya, kanak-kanak perempuan itu mampu mencecah 60 ke 100 kilogram (kg) dalam tempoh beberapa minggu. Menurutnya lagi, jarang ada kanak-kanak yang enggan makan dan jika ada, dia biasanya dibantu ibu bapa kanak-kanak terbabit.
"Ibu bapa akan menghukum, memukul dan merotan anak-anak mereka hingga akhirnya kanak-kanak itu menelan makanan. Selalunya kami cuba memujuk dulu sebelum menggunakan kekerasan," ujarnya.
Seperti yang berlaku kepada Mey Mint, dia dirotan keluarganya kerana memuntahkan semula makanan dan dipaksa mengambil makanan manis sebelum tidur.
Mey, kini berusia 50 tahun, tidak berdaya berjalan jauh dan sentiasa mengah serta sakit dada setiap kali menaiki beberapa anak tangga di rumahnya.
Mey berusia empat tahun ketika mula dipaksa minum 14 gelen susu unta setiap hari. Jika enggan, jari tangannya akan dibengkokkan ke belakang hingga dia menjerit kesakitan lalu merelakan diri mengambil minuman itu. Kala usianya 10 tahun, dia tidak lagi mampu berlari seperti kanak-kanak lelaki yang berjiran dengannya. Ibunya langsung tidak kisah dan tidak bimbang, malah bangga kerana anak perempuannya mula mendapat tumpuan lelaki.
"Ibu saya merasakan berjaya membuatkan saya kelihatan cantik dan menawan. Padahal, dia membuatkan saya sakit dan tidak selesa dengan diri sendiri," katanya yang mula mengalami pelbagai penyakit termasuk jantung dan diabetes. Lebih memburukkan keadaan apabila kaum lelaki di Mauritania juga meletakkan syarat bahawa seorang wanita yang ingin dikahwininya perlu gemuk dan mempunyai lapisan lemak di perut.
"Suami saya mengatakan saya tidak cukup gemuk," adu Zeinabou Mint Bilkhere yang menjelaskan bahawa suaminya berulang kali memuji bentuk tubuhnya ketika mengandung.
Selepas melahirkan anak, berat badannya turun mendadak hingga menyebabkan suaminya dingin di tempat tidur.
Berbanding cara tradisional, wanita moden di negara itu menggunakan pelbagai kaedah untuk menambah berat badan. Seperti Zeinabou, ramai wanita muda mula beralih kepada kaedah saintifik dengan menggunakan pil penambah selera.
"Ketika kecil, ibu sering memukul saya kerana enggan makan. Saya tidak mahu menjadi terlalu gemuk seperti ibu dan nenek. Tapi kini saya mahu menjadi seperti mereka kerana lelaki lebih sukakan wanita gempal," katanya.
Suaminya, Isselmou Ould Mohamed, berkata dia suka melihat tubuh isterinya ketika berat badan wanita itu mencecah 90kg dan tambah gembira apabila Zeinabou menambah berat badan ketika mengandung. Tapi, dia marah dan mengamuk apabila mengetahui isterinya mula bersenam di padang bola sepak untuk menurunkan berat badan. "Saya tidak suka wanita kurus. Wanita kurus tidak menarik kerana tiada apa yang boleh dipegang dan dilihat. Semuanya leper. Saya beri amaran padanya, saya tidak teragak-agak menceraikannya jika berat badannya makin berkurangan," ujar lelaki itu.
Meskipun hanya Mauritania yang mengamalkan budaya memaksa kanak-kanak perempuan makan tanpa henti, masalah obesiti amat popular di negara Arab. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 55 peratus wanita berusia lebih 15 tahun dilaporkan obes, 46 peratus di Mesir dan 50 peratus di Arab Saudi serta Bahrain.
Ujar kurator di perpustakaan manuskrip khazanah peradaban Islam di Arab Saudi, Seif l'Islam, lelaki Arab meletakkan sasaran untuk mengahwini wanita yang mampu memenuhi rumahnya. Isteri lelaki Arab perlu menunjukkan status dan kekayaan suaminya maka lebih gemuk isterinya bermakna lebih kaya seseorang lelaki itu.
Pandangan itu jelas sekali bertentangan dengan Houda, wanita generasi baru di Mauritania. Bapanya, seorang doktor, menyaksikan banyak kesan negatif berlaku kepada wanita obes dan menolak sama sekali idea kecantikan dan kekayaan yang disifatkannya zalim dan kuno itu.
"Setiap hari, bapa saya berdepan ramai wanita yang mengalami penyakit serius membabitkan berat badan berlebihan seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung," katanya.
Tambahnya, wanita Mauritania sedar dengan kesan daripada penyakit itu, tapi masih mengamalkan budaya gemuk kerana mereka lebih gembira apabila berbadan gempal, selain kesan atau garisan regangan yang ketara di perut dan paha.
Bukan setakat itu, Houda menjelaskan wanita Mauritania dianggap seksi apabila bercerai berulang kali. Setiap kali berlaku perceraian, wanita terbabit akan dirai dan suasana rumahnya bagaikan pesta. Lebih kerap seseorang wanita itu diceraikan, jadi lebih tinggi 'sahamnya' kerana ramai lelaki mendambakannya.
No comments:
Post a Comment